MF Ajif’s Words


Ruangan ini adalah kata-kata saudara MF Ajif aka Alyridura, yang sekian lama berkecimpung dalam bidang komik dan seni lukis. Untuk dikongsi bersama dengan para karyawan yang saya telah meinta izin dari Ajif. Kita mengucapkan kejayaan dan kesejahteraan beliau dan keluarganya di tempat dan suasana yang baru. Semoga, beliau terus berkarya di mana jua beliau berada. Kita nantikan karyanya Hikayat Shah Mardan terbitan DBP, tidak lama lagi. Amin.

Selamat tinggal Kuala Lumpur – terima kasih kawan-kawan atas suka dan duka selama 12 tahun.

MF Ajif

MF Ajif

Hahaha… ayat ni macam sedih je padehal nilah 1 ayat keramat kebebasan buat diri aku. Tiada kena-mengena ngan ulangtahun kemerdekaan Malaysia ke 50 tahun.

Sekadar mengungkap seperenggan impian dan kenangan…

Dikesempatan ni, aku nak ucapkan selamat tinggal kepada ibukota yang menjanjikan seribu impian bak lirik M.Nasir dalam lagunya, walaupun aku bukanlah peminatnya yang setia. Kekadang liriknya itu sememangnya rapat lagi erat dengan realiti kehidupan masyarakat. Itulah hakikat.

12 tahun mencipta cita-cita
Aku rasa aku dah cukup berdikari, insyaallah semoga aku dimurahkan rezeki, dipermudahkan urusan duniawi untuk meneruskan kehidupan yang maha mencabar ini. Mungkin ada di antara kalian yang merasakan akan kehilangan setelah aku mengisi kekosongan sebagai nakhoda, tapi ada perkara yang lebih penting perlu aku lindungi untuk masakini dan masa depan sebab hidup itu sangat mencabar malah tidak boleh di duga oleh akal manusia yang sudah pasti ada had dan batas untuk di ramal. Lalu, aku mengambil langkah selamat sebagai pilihan.

Dalam diam 12 tahun sudah aku hidup di Kuala Lumpur yang penuh dengan kecantikan seindah warna pelangi tak kurang juga seburuk, sejijik bak sebatang longkang yang kotor penuh dengan sisa sampah sarap dan najis. Begitu juga realiti masyarakat yang ada di dalam kota ini. Penuh dengan janji manis dan tak kurang juga penipuan dan lakonan semata-mata. Telah pelbagai ragam dan karenah manusia yang aku kenali dari sedaif manusia hingga yang berada. Tak dinafikan, KL menjanjikan seribu satu macam peluang pekerjaan termasuklah bidang lukisan yang aku idamkan sejak dibangku sekolah lagi.

Apa cita-cita aku?
Sudah tentunya ingin menjadi seorang pelukis komik. Dan jawapan inilah yang aku beri kepada isteriku di awal-awal perkenalan kami. Kini, memang aku seorang pelukis komik, sama ada berjaya atau tidak. Aku tetap berusaha. Semoga berjaya, walaupun rintangan yang datang terlalu hebat.

[Sebelum cita-cita aku menjadi realiti, keje pertama aku di Kuala Lumpur bersama produksi siri animasi pertama Malaysia, Usop Sontorian. nak tau lebih lanjut pasal Usop Sontorian, yang sudah di anggap sebagai lagenda] http://ameirhamzahhashim.blogspot.com/2007/02/lagenda-usop-sontorian.html

Tidak mudah untuk menjadi pelukis komik. Pengalaman pertama artwork direject memang memilukan. Tapi takpe, tu semua telah membuatkan aku untuk berubah lebih maju. Sanggup menerima teguran, kritikan dan pandangan tak kurang juga ego perlu diketepikan. Sifat ingin belajar wajib ada dalam diri individu jika ingin berjaya. Sanggup bermula dari bawah adalah langkah yang paling wajar.

Kenapa aku memilih komik sebagai kerjaya?
Seingat aku mula mengenal komik se awal 86 atau 87. ketika itu di kampung datang seorang Benggali menjual kacang putih dan adela jajan yang lain. Dalam banyak-banyak jajan yang dia jual ada 1 bungkusan plastik hitam dan di dalamnya adalah komik. Dari situlah aku mula mengenal komik walaupun ketika itu sudah ade majalah seperti Gila-Gila, Bujal, Batuapi dan sebagainya tetapi komik-komik ini adalah amat berbeza. Ketika itu contentnya yang bebas. Amat sukar untuk mengikuti siri sekiranya komik-komik ini mempunyai siri, sebab ianya di jual dengan di balut plastik hitam. Camne nak nampak?

Mulahlah era aku meminati komik. Dalam masa yang sama aku memang suka menonton siri animasi tiap-tiap petang lagi menambah minat aku untuk melukis. Aku mula melukis, tak kira masa, tempat. Sejak aku di sekolah rendah lagi aku dah pun mula melukis komik. Sama ada menggunakan kertas A4 atau kertas lukisan aku jadikan buku dan setiap mukasuratnya akan jadi helaian komik. Kalau sekarang ni orang lebih mengenalinya sebagai zine. Tapi zaman aku time tu apela sangat. Jauh sekali nak tau ape itu zine.

Apa yang mendorong aku untuk melukis komik?
Mungkin aku mula mengenali dan membesar dengan komik-komik yang berteraskan konteks Malaysia, maka aku terdorong untuk melahirkan komik yang bertemakan Malaysia. Langkah pertama aku melukis komik Alyridura yang bertemakan tradisi alam Melayu di mana zaman orang bangga memakai tengkolok, keris dan sampin sebagai lambang budaya dan Raja sebagai pemerintah yang berdaulat. Melahirkan komik sebegini di dalam era peminat komik ke arah Manga adalah sukar, tetapi ternyata ada segelintir yang masih mahu menerima, menghargai tak kurang juga ingin memartabatkan tema sebegini.

Alhamdulillah, hasil usaha aku selama ini bertahun-tahun dalam menyelidik dan mengulangkaji tidaklah sia-sia. Sebenarnya kita sebagai komik artis mahupun pengkarya boleh menghasilkan konteks atau tema seumpama ini sesungguhnya ada permintaan di kalangan pembaca.

Atas faktor inilah aku sukarela untuk menjadi penyumbang konteks KeMalaysiaan atau kemelayuan sebagai subjek persembahan aku melalui komik. Bukanlah aku ingin digelar sebagai ikon, dewa atau mahaguru sebagai gelaran, tetapi inilah jasa yang aku ingin bina untuk anak bangsa dan tanahair melalui komik. Usaha kerdil aku ini, janganlah di anggap besar dan tinggi sedangkan ada orang yang telah menyumbangkan tenaga, usaha dan jasa yang jauh lebih baik dari aku. Semoga langkah aku ini dapat menyemarakan dunia komik di Malaysia dan akan melahirkan bakat-bakat baru yang sama-sama berjuang untuk menghasilkan komik bertemakan Malaysia.

Terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana memberi laluan dan peluang untuk aku sama-sama terlibat dalam menjayakan komik bertemakan Hikayat-hikayat Melayu terbitan mereka. Alhamdulillah, walaupun cabarannya amat getir kerana ianya diusahakan di waktu malam di mana manusia sedang di ulit mimpi, bersulamkan selimut dan berbantal di atas tilam yang empuk barangkali, memang sesuatu yang sukar utuk aku hadapi.

Semua itu bukanlah keluhan, tetapi itulah cabaran. Aku, sanggup malah menyahut cabaran itu untuk menjayakan misi yang telah aku pilih selama ini. Ramai orang telah berjaya dan laluannya bukanlah mudah, moga-moga aku juga melalui liku-liku sepertimana mereka, insyaallah.

Meninggalkan kota Kuala Lumpur, bukanlah aku menutup masa depan aku sebagai pelukis komik. Ia membuka pintu kebebasan untuk aku terus berkarya dengan lebih aman, insyaallah. Banyak idea, tak kurang juga banyak watak yang perlu di bina dan cerita yang ingin dijayakan. Setakat ini, komik Fetus in Fetu akan terus aku usahakan sehingga episod yang terakhir. 12 siri kesemuanya, insyaallah akan siap dalam beberapa bulan dari sekarang. Siri komik Baran di dalam akhbar Utusan Malaysia setiap Sabtu di sisipan Sigap insyaallah masih diteruskan. Tunggu akan lahirnya jilid pertama Hikayat Raja Shah Mardan. Di jangka siap sebelum akhir tahun ini dan tarikh terbitannya tertakluk pada pengurusan DBP. Selepas ini beberapa tajuk lama dan baru akan diusahakan. Semoga dengan izin Allah, berkat restu keluarga dan doa kawan-kawan sekalian akan aku usahakan sebaik mungkin.

Akhir kata, semoga kawan-kawan aku di luar sana terus berusaha dan maju dalam membina kerjaya masing-masing. Mungkin impian kita berbeza tapi mungkin juga matlamat kita sama. Teruskan berjuang, walaupun ada sebahagian kalian tidak bersama aku, janganlah berputus asa. Binalah masa depan kerana cita-cita itu di bina atas kehendak diri sendiri.

Selamat tinggal Kuala Lumpur, selamat tinggal kawan-kawan seperjuangan. Ada umur panjang, murah rezeki semoga kita berjumpa lagi. Genap sudah 12 tahun aku mengembara membina cita-cita. Aku melangkah pergi bukanlah mengalah tetapi mencari kebebasan untuk berkarya.

Sampaikan salam aku kepada mereka yang mengenali aku selama ini.

  1. #1 by panaharjuna at September 21st, 2007

    Sedih bunyinya Aly, tetapi untuk kebaikkan engkau buatlah apa yang kau fikirkan terbaik, aku akan mendoakan apa-apa yang kau buat selepas ini akan lebih cemerlang dan lebih baik lagi. Maafkan aku juga jika aku terlepas kata, terkutuk, termengumpat (he he he.., ada kot) terpuji lebih-lebih (mungkin kau marah,sapa tau)adalah semua itu terjadi diawal persahabatan kerana kita masing-masing masih belum mengenali perasaan dan hati budi masing-masing. Tapi bila kita semua sudah dewasa dan masing-masing dah merasa sakit dan sedapnya sepak terajang hidup di kota batu seperti KL, kehilangan seorang teman seperti kau akan amat dirasai. Harapan aku agar kita jangan lost contact walaupun kau mungkin dapat kerja di Los Angeles, hahaha.. Akhir kata,semoga engkau berjaya di dalam apa saja yang kau lakukan!

  2. #2 by Zulcafly at September 23rd, 2007

    Komik ROCK yang memperkenalkan Ajif ke dunia komik Malaysia. Dengan dua buah isu itu, saya berpendapat Ajif boleh pergi jauh. Sewaktu itu, belum lagi mengenali dirinya. Sekarang sudah kenal dan jumpa pun sudah beberapa kali. Insya Allah, kalo turun ke Segamat. mungkin boleh jumpa lagi. Sahabat (lama tidak bertemu )saya ada mengajar di SMK Palong Timur, Batu 6.

  3. #3 by cendera_lela at September 24th, 2007

    Ajif, di mana kau berada sekalipun kami di sini tetap akan sentiasa bersama. Apa-apa pun terima kasih kerana bersama-sama menjayakan projek Hikayat Syah Mardan ini.

  4. #4 by Azhar at September 26th, 2007

    Whenever Ajif may go..he is a talented peKOMIK…

    place & time is not a factor…Ajif always perform better..he’s work becoming matured & superb as he produce new works…

    just can’t wait his latest comicwerks…

    2 Legit 2 Quit bro!

You must be logged in to post a comment.

  1. No trackbacks yet.